Ayah saya seorang pendiam. Dia mempunyai masalah pendengaran ekoran tugasnya dalam ketenteraan selama bertahun-tahun dan kini dia memakai alat bantu pendengaran. Pada suatu tengah hari ketika saya dan ibu saya bercakap dengan tidak berhenti-henti, dia memberi respons secara jenaka, “Apabila saya mahukan kedamaian dan ketenangan, inilah yang akan saya lakukan.” Dia mematikan alat bantu pendengarannya sambil melipatkan kedua-dua tangannya di belakang kepala, serta menutup mata diiringi senyuman yang tenang.

Kami tertawa. Bagi ayah, begitulah perbualan kami berakhir.

Kelakuan ayah pada hari itu mengingatkan saya bahawa Tuhan amat berbeza dengan kita. Dia senantiasa ingin mendengarkan anak-anak-Nya. Ini ditegaskan oleh salah satu doa yang paling pendek dalam Alkitab. Suatu hari, Nehemia kelihatan sangat sedih ketika dia sedang melayani Raja Persia, iaitu Raja Artahsasta sebagai pengurus minuman raja. Disebabkan perasaan takut ketika ditanya oleh raja, maka Nehemia mengaku bahawa Yerusalem merupakan penyebab kesedihannya itu, kota milik nenek moyangnya yang dibiarkan dalam keadaan reruntuhan. Nehemia menceritakan, “Raja bertanya, ‘Kalau begitu, apakah keinginanmu?’ “Aku berdoa dalam hati kepada Allah penguasa di syurga, lalu aku berkata kepada raja … ” (Nehemia 2:4–5).

Doa Nehemia singkat sahaja, namun Tuhan mendengarkannya. Dengan belas kasihan, Tuhan menjawab doa Nehemia yang sudah banyak kali dipanjatkan terhadap Yerusalem. Pada saat itu, Raja Artahsasta menunaikan permintaan Nehemia untuk membina semula kota Yerusalem.

Bukankah ia sungguh menyenangkan hati apabila menyedari bahawa Tuhan amat mempedulikan segala seruan doa kita, baik doa yang paling singkat mahupun doa yang paling panjang?