Untuk tiga tahun berturut-turut, anak lelaki saya telah menyertai persembahan piano. Pada tahun terakhir penglibatannya, saya menyaksikan dia menaik ke pentas dan membuat persiapan. Dia memainkan dua buah lagu dan kemudian duduk di sebelah saya lalu berbisik, “Ibu, piano itu kelihatan lebih kecil tahun ini.” Saya berkata, “Tidak, itulah piano sama yang kamu mainkan tahun lepas. Kamu lebih tinggi sekarang! Kamu sudah membesar.”

Kerohanian turut bertumbuh seperti pertumbuhan fizikal, dan biasanya ia berlaku secara perlahan. Ia merupakan proses berterusan yang akan menjadikan kita serupa dengan Yesus, dan berlaku semasa kita diubah melalui pembaharuan dalam cara kita berfikir (Roma 12:2).

Apabila Roh Kudus bekerja dalam diri kita, kita akan sedar tentang dosa dalam kehidupan kita. Kerana ingin memuliakan Tuhan, maka kita pun berusaha untuk berubah. Kadangkala kita berjaya, tetapi ada kalanya juga kita gagal. Jika hal itu kelihatannya tiada perubahan, maka kita pun berasa tawar hati. Kita menyamakan kegagalan dengan kurangnya peningkatan, sedangkan sebenarnya ia merupakan bukti bahawa kita sedang melalui proses pertumbuhan.

Pertumbuhan rohani melibatkan Roh Tuhan, keinginan kita untuk berubah, serta jangka masa. Pada tahap tertentu dalam kehidupan kita, kita boleh menoleh ke belakang dan melihat pertumbuhan rohani yang kita alami. Semoga Tuhan memberikan kita iman untuk terus percaya bahawa “Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali” (Filipi 1:6).