Sahabat saya Gloria, menelefon saya dengan sangat teruja. Dia tidak dapat keluar rumah sekian lama kecuali jika ada janji temu dengan doktor. Saya faham sebab dia sangat gembira ketika memberitahu saya, “Anak lelaki saya baru sahaja memasang pembesar suara baru di komputer, jadi sekarang saya boleh pergi ke gereja!” Sekarang dia boleh mendengar siaran langsung pujian dan penyembahan di gerejanya. Dia meninggikan Tuhan atas kebaikan-Nya dan “inilah hadiah terbaik yang diberikan anak saya!”

Gloria mengajar saya tentang memiliki hati yang bersyukur. Meskipun dia ada banyak keterbatasan, dia bersyukur untuk perkara-perkara yang kecil—matahari terbenam, keluarga dan jiran yang suka menghulurkan bantuan, masa renungan dengan Tuhan, serta mampu tinggal di pangsapurinya sendiri. Sepanjang hidupnya, dia mengalami pemberian Tuhan untuk segala keperluannya, dan dia bercakap tentang Tuhan kepada sesiapa sahaja yang datang melawat atau menelefon dia.

Kita tidak tahu kesukaran yang sedang dihadapi oleh penulis Mazmur 116. Ada beberapa pengulas Alkitab berpendapat bahawa kemungkinan ini adalah disebabkan oleh penyakit kerana penulis berkata, “Maut mengepung aku” (ayat 3). Tetapi dia bersyukur kepada Tuhan kerana kebaikan dan belas kasihan yang diberikan-Nya ketika penulis “tidak berdaya” (ayat 5–6).

Ketika kita berada pada tahap yang paling susah dalam kehidupan, sukar bagi kita untuk berharap kepada Tuhan. Tetapi jika kita melakukannya, kita akan melihat bahawa Tuhan adalah sumber bagi semua kurnia yang baik dalam kehidupan kita—besar dan kecil—dan kita belajar untuk bersyukur kepada-Nya.