Dalam persidangan mahkamah, para saksi adalah lebih banyak daripada pemerhati atau penonton. Mereka merupakan peserta yang aktif dalam membantu menentukan keputusan sesuatu kes. Perkara ini adalah sama apabila kita menjadi saksi untuk Kristus. Kita perlu menjadi peserta yang aktif dalam perkara yang paling penting—kebenaran tentang kematian dan kebangkitan Yesus.

Apabila Yohanes Pembaptis datang untuk memberitahu orang tentang Yesus, iaitu cahaya sejati bagi dunia, dia berbuat demikian dengan mengisytiharkan pengetahuannya tentang Yesus. Sementara itu, Yohanes, iaitu pengikut Yesus telah mencatatkan segala hal yang berlaku. Dia berkongsi tentang pengalamannya dengan Yesus: “Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai anak tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita” (Yohanes 1:14). Rasul Paulus menghuraikan hal bersaksi untuk Yesus kepada Timotius yang masih muda, “Ajaran yang engkau dengar ketika aku mengisytiharkannya di hadapan banyak saksi, hendaklah engkau percayakan kepada orang yang boleh dipercayai dan yang dapat mengajar orang lain” (2 Timotius 2:2).

Semua umat Kristian telah dipanggil untuk bersaksi di dunia ini. Alkitab berkata bahawa kita bukanlah hanya penonton, malahan juga peserta yang aktif. Kita menjadi saksi tentang kematian dan kebangkitan Yesus. Yohanes Pembaptis menjadi saksi Yesus di padang gurun. Kita juga boleh menjadi kesaksian di tempat kerja, kejiranan, gereja, dan di kalangan keluarga serta kawan-kawan kita. Kita boleh menjadi saksi yang aktif dengan memberitahu mereka tentang kebenaran Yesus dalam kehidupan kita.