Seorang wanita tua bernama Violet duduk di atas katilnya di sebuah hospital di Jamaica, dan senyum dengan beberapa remaja yang datang melawatnya. Udara tengah hari yang panas meniup masuk ke tempatnya tanpa henti, tetapi dia tidak bersungut. Sebaliknya, dia cuba memikirkan sebuah lagu untuk dinyanyikan. Kemudian dia tersenyum besar dan mula menyanyi, “Saya sedang berlari, melompat, memuji Tuhan!” Semasa dia menyanyi, dia menggoyangkan tangannya ke depan dan ke belakang seakan-akan dia sedang berlari. Mereka yang berada di sekelilingnya berlinang-linang air mata kerana Violet tidak mempunyai kaki. Dia berkata, “Yesus mengasihi saya—dan di syurga saya akan mempunyai kaki untuk berlari.”
Sukacita Violet dan penantian syurga yang penuh harapan memberi semangat baru kepada kata-kata Paulus dalam Filipi 1, apabila dia menghadapi soal hidup atau mati. “Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik.” (ayat 22-23).
Setiap orang akan mengalami situasi sukar yang mungkin menyebabkan kita menginginkan kelegaan yang dijanjikan di syurga. Tetapi seperti Violet yang menunjukkan sukacitanya walaupun mengalami situasi sukar, kita juga boleh terus “berlari, melompat, memuji Tuhan”—kerana kehidupan kita penuh dengan kecukupan yang diberikan oleh-Nya, dan sukacita kekal sedang menantikan kita.