Sewaktu saya menaiki kapal terbang untuk pergi belajar di sebuah bandar sejauh beribu-ribu kilometer dari rumah, saya berasa risau dan keseorangan. Tetapi dalam penerbangan itu, saya teringat akan janji-janji Yesus kepada para pengikut-Nya dengan kehadiran Roh Kudus yang menghiburkan.

Kawan-kawan Yesus ini pasti berasa terkejut apabila Dia memberitahu mereka, “Untuk kebaikan kamu, lebih baik Aku pergi” (Yohanes 16:7). Bagaimanakah mereka yang menjadi saksi keajaiban-Nya dan belajar daripada pengajaran-Nya akan hidup lebih baik tanpa Yesus? Tetapi Yesus memberitahu mereka bahawa jika Dia pergi, barulah Penolong, yakni Roh Kudus akan datang.

Pada waktu Yesus menjelang saat terakhir-Nya di dunia, Dia berkongsi dengan para pengikut-Nya (dalam Yohanes 14-17, hari ini dikenali sebagai “Wacana Perpisahan”) untuk membantu mereka memahami kematian dan kebangkitan-Nya. Bahan utama dalam perbualan ini adalah tentang kedatangan Roh Kudus, seorang Penolong yang akan bersama mereka (14:16-17), mengajar (15:15), bersaksi (15:26) dan memimpin mereka (16:13).

Kita yang telah menerima pemberian kehidupan baru daripada Tuhan juga telah diberikan Roh Kudus untuk tinggal di dalam kita. Kita sudah menerima banyak daripada-Nya: Dia menegur dosa kita dan membantu kita untuk bertaubat. Dia memberi penghiburan apabila kita sakit, kekuatan untuk menghadapi kesusahan, kebijaksanaan untuk memahami pengajaran Tuhan, harapan dan iman untuk percaya, dan keinginan untuk bersaksi.

Kita boleh bergembira kerana Yesus telah menghantar seorang Penolong.