Artis-artis karikatur mendirikan kekuda mereka di tempat awam dan melukis potret lucu bagi sesiapa sahaja yang sudi membayar harga sederhana untuk potret diri mereka yang lucu. Lukisan mereka sangat menggelikan hati kerana mereka akan membesar-besarkan satu atau beberapa rupa fizikal yang boleh dikenali tetapi lucu.

Sebaliknya, karikatur tentang Tuhan tidak lucu. Jika kita membesar-besarkan salah satu sifat-Nya, pandangan tentang Dia pun tidak sempurna, malah orang akan melupakan Dia dengan mudah. Seperti karikatur, pandangan Tuhan yang tidak sempurna tidak akan diambil serius. Mereka yang membayangkan Tuhan sebagai hakim yang marah dan suka mendesak mudah tertarik oleh seseorang yang menekankan belas kasihan. Mereka yang melihat Tuhan sebagai datuk yang baik hati akan menolak imej penyayang itu apabila mereka memerlukan keadilan. Mereka yang melihat Tuhan sebagai satu idea intelek dan bukannya Tuhan yang hidup dan penyayang akan mendapati idea lain lebih menonjol. Mereka yang menganggap Tuhan sebagai kawan baik selalu meninggalkan Dia apabila mereka dapat mencari kawan manusia yang disukai mereka.

Tuhan menunjukkan diri-Nya sebagai penuh belas kasihan dan kasih, tetapi juga menghakimi mereka yang berdosa (Keluaran 34:6-7).

Apabila kita menunjukkan iman melalui perbuatan, kita perlu mengelakkan daripada menggambarkan Tuhan menurut ciri-ciri yang kita suka. Kita perlu memuji semua sifat Tuhan, bukan sahaja apa yang kita suka.