“Tuhan bagai kelopak mata saya,” kata kawan saya Ryley dan saya berkelip kerana terkejut. Apakah maksudnya?

“Beritahu saya dengan lebih lanjut,” jawab saya. Kami berdua telah mempelajari gambaran-gambaran yang mengejutkan tentang Tuhan dalam Alkitab, misalnya Tuhan adalah seperti seorang ibu yang hendak bersalin (Yesaya 42:14) atau sebagai pemelihara lebah (7:18), tetapi gambaran Tuhan sebagai kelopak mata adalah baru bagi saya. Ryley menunjukkan dalam Ulangan 32, bahawa Musa memuji Tuhan kerana cara Dia menjaga umat-Nya. Ayat 10 mengatakan bahawa Tuhan “melindungi dan memelihara mereka sebagaimana Dia menjaga biji mata-Nya.”

Sekiranya biji mata begitu berharga, apakah yang pula mengelilingi dan melindungi biji mata? Sudah tentunya, kelopak mata! Tuhan bagaikan kelopak mata, yang secara naluri menjaga biji mata yang lembut. Kelopak mata melindungi mata daripada segala bahaya, dan kelipan mata membantu untuk menanggalkan apa jua kotoran atau habuk. Ia menghalang peluh masuk ke dalam mata, melincirkan biji mata, memeliharanya agar sihat. Ia ditutup untuk memberikan rehat kepada biji mata.

Apabila saya melihat Tuhan sebagai kelopak mata, saya tidak dapat berhenti untuk berterima kasih kepada Tuhan kerana banyak metafora yang telah diberikan-Nya kepada kita untuk memahami kasih-Nya. Apabila kita menutup mata pada waktu malam dan membukanya pada waktu pagi, kita boleh memikirkan Tuhan, dan memuji Dia kerana perlindungan dan pemeliharaan-Nya kepada kita.