Waldo ialah watak utama dalam siri buku klasik kanak-kanak, Where’s Waldo yang laris dijual. Waldo menyembunyikan dirinya dalam latar lukisan yang penuh dengan watak-watak dan benda-benda lain pada setiap halaman, serta mencabar kanak-kanak untuk menemukannya. Ibu bapa di seluruh dunia suka melihat kegembiraan pada wajah anak-anak mereka apabila mereka menemukan Waldo. Mereka juga berasa gembira apabila dijemput untuk turut serta dalam pencarian Waldo.
Tidak lama selepas Stefanus, seorang diaken di gereja awal direjam sehingga mati kerana mengisytiharkan Kristus (lihat Kisah Rasul-Rasul 7), penganiayaan besar meletus ke atas orang Kristian sehingga ramai yang meninggalkan Yerusalem. Seorang lagi diaken, iaitu Filipus, mengikut pelarian Kristian itu ke Samaria, tempat yang dia mengkhabarkan Kristus dan disambut dengan baik (8:6). Sementara di tempat itu, Roh Kudus mengutus Filipus menjalani satu misi istimewa di “tanah gurun.” Kelihatannya ia adalah satu permintaan yang aneh, memandangkan pemberitaannya di Samaria sedang berbuah hasil. Bayangkan sukacita Filipus apabila dia berjumpa dan menolong seorang pegawai Etiopia menemukan Yesus dalam kitab Yesaya (ayat 26-40).
Kita sering diberi peluang untuk menolong orang lain “menemukan Yesus” dalam Alkitab supaya mereka juga lebih mengenal-Nya. Seperti ibu bapa yang melihat sukacita yang muncul dalam mata anak mereka apabila mereka menemukan Waldo, dan seperti Filipus menolong orang Etiopia itu menemukan Yesus, ia juga menjadi satu kegembiraan bagi kita untuk menyaksikan saat penemuan itu bagi orang di sekeliling kita. Sementara kita melalui hari demi hari, semoga kita bersedia untuk berkongsi Kristus pada saat kita dipimpin Roh Kudus, baik orang yang kita kenal mahupun orang yang kita temui buat kali pertama.