Ketika suami saya memainkan harmonika untuk kumpulan pujian di gereja kami, saya memerhatikan bahawa dia kadangkala menutup matanya semasa memainkan lagu. Dia berkata bahawa ini menolong dia berfokus dan menghalang gangguan lain supaya dia boleh memainkan dengan baik. Saat itu hanya harmonika, muzik dan dirinya—semua memuji Tuhan.

Ada orang tertanya-tanya bahawa kita mesti menutup mata ketika berdoa. Kita boleh berdoa pada bila-bila dan di mana-mana sahaja, namun kita mungkin sukar untuk selalu menutup mata semasa berdoa—terutamanya apabila kita sedang berjalan, mencabut rumput atau memandu kereta!

Tiada peraturan untuk posisi tubuh sewaktu kita bercakap dengan Tuhan. Apabila Raja Salomo berdoa untuk mentahbiskan Rumah Tuhan yang telah dibinanya, dia berlutut dan “mengangkat kedua-dua tangannya ke langit” (2 Tawarikh 6:13-14). Berlutut (Efesus 3:14), berdiri (Lukas 18:10-13) mahupun bersujud dengan muka menghadap ke lantai (Matius 26:39), semuanya disebut dalam Alkitab sebagai kedudukan tubuh sewaktu berdoa.

Sama ada kita berlutut ataupun berdiri di hadapan Tuhan, baik kita mengangkat tangan ke langit ataupun menutup mata supaya kita boleh berfokus pada Tuhan—ia bukan bergantung kepada kedudukan tubuh kita, melainkan apa yang penting ialah kedudukan hati kita. Segala yang kita lakukan ”terpancar kehidupan” (Amsal 4:23, ATB). Ketika kita berdoa, semoga hati kita sentiasa tunduk dalam hormat, kesyukuran dan kerendahan kepada Tuhan yang penuh kasih, kerana kita tahu bahawa mata-Nya melihat dan telinga-Nya mendengar doa umat-Nya (2 Tawarikh 6:40).