Selepas saya memberi respons kepada kawan saya melalui e-mel tentang hal yang kami tidak bersetuju, dia tidak membalas e-mel saya. Adakah respons saya melampau? Saya tidak mahu memburukkan lagi keadaan dengan mengganggunya, tetapi saya juga tidak mahu membiarkan hal itu begitu sahaja sebelum dia berangkat ke luar negara. Ketika kawan perempuan itu muncul dalam fikiran saya selama beberapa hari, saya berdoa untuknya tetapi tidak mengetahui cara untuk menyelesaikan hal itu. Kemudian, pada suatu pagi ketika saya bersiar-siar di taman rekreasi awam dan terlihat dia, kesakitan terukir pada wajahnya apabila dia melihat saya. Dengan hembusan lega dan doa, saya berkata dalam hati, “Terima kasih Tuhan kerana saya dapat bercakap dengannya.” Saya mendekatinya dengan senyuman. Kemudian kami bercakap secara terbuka dan akhirnya dapat menyelesaikan perkara itu.
Ada kalanya apabila kesakitan ataupun kedinginan menyelinap ke dalam sebuah hubungan, cara untuk mendamaikan keadaan itu nampaknya berada di luar kawalan kita. Tetapi seperti yang dikatakan oleh rasul Paulus dalam suratnya kepada jemaah di Efesus, kita dipanggil untuk hidup damai dan kesatuan melalui Roh Tuhan, dengan mengamalkan sikap lemah lembut, kerendahan hati dan kesabaran sambil memohon Tuhan untuk menyembuhkan hubungan kita. Tuhan menginginkan kita bersatu, dan melalui Roh-Nya, Dia boleh menyatukan umat-Nya—mahupun dengan tidak disangka-sangka sewaktu kita bersiar-siar di taman rekreasi awam.
Tuhan menginginkan kesatuan di kalangan
orang percaya.