Ketika saya masih muda, bapa saya dan beberapa kawannya telah pergi ke suatu acara sukan di luar bandar dan tayar kereta mereka tergelincir di jalan raya yang basah disebabkan hujan. Mereka mengalami kemalangan yang dahsyat. Salah seorang kawannya telah menjadi lumpuh manakala seorang lagi telah terbunuh. Bapa saya pula disahkan meninggal dunia dan dibawa ke bilik mayat. Datuk dan nenek saya yang berada dalam keadaan terkejut dan dirundung perasaan sedih datang untuk mengenal pasti mayatnya. Tetapi bapa saya pula terjaga daripada keadaan yang sebenarnya koma. Kedukaan mereka bertukar menjadi sukacita.
Dalam Efesus 2, rasul Paulus mengingatkan kita jika hidup kita tanpa Kristus, kita sudah “mati secara rohani, kerana [kita] tidak taat kepada perintah Allah dan [kita] berdosa” (ayat 1). “Tetapi Allah sangat berbelas kasihan dan Dia sangat mengasihi kita, sehingga sementara kita mati secara rohani kerana pelanggaran kita, Dia menghidupkan kita semula bersama-sama Kristus” (ayat 4-5). Melalui Kristus kita telah dihidupkan daripada kematian.
Jadi dari satu segi, setiap kita berhutang nyawa kepada Bapa yang di syurga. Oleh sebab kasih-Nya yang besar, kita yang dahulunya mati dalam dosa kini boleh memiliki hidup dan tujuan melalui Anak-Nya.