Dalam perjalanan selama 2 jam pulang ke rumah dari majlis perkahwinan seorang ahli keluarga, ibu saya bertanya kepada saya untuk kali ketiga tentang kejadian baru di tempat kerja saya. Sekali lagi saya menjawab pertanyaannya seakan-akan saya memberi jawapan pada kali pertama, sambil memikirkan kata-kata yang perlu digunakan supaya dia dapat mengingat jawapan saya dengan mudah. Ibu saya menghidapi penyakit Alzheimer yang merosakkan ingatannya sedikit demi sedikit. Penyakit ini juga dapat mempengaruhi tingkah laku dan akhirnya melumpuhkan keupayaan seseorang untuk bertutur—bahkan lebih daripada itu.
Saya berasa sedih apabila memikirkan penyakit ibu saya, namun saya bersyukur kerana dia masih ada di sini dan kami dapat meluangkan masa bersama serta berbual-bual. Ia masih menggembirakan saya ketika saya pergi melawatnya dan dia kelihatan ceria lalu berkata, “Alyson, seronoknya anda datang melawat ibu!” Kami menikmati masa bersama; walaupun kadangkala saat-saat senyap apabila dia tidak dapat mengingat apa yang mahu dikatakan, kami masih dapat bersekutu.
Ini mungkin merupakan gambaran yang kecil tentang hubungan kita dengan Tuhan. Alkitab memberitahu kita bahawa, “Dia suka akan orang yang menghormati-Nya, orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal” (Mazmur 147:11). Tuhan memanggil mereka yang percaya kepada Yesus Kristus sebagai Penyelamat menjadi anak-anak-Nya (Yohanes 1:12). Walaupun kita mungkin mengulangi permintaan kita berkali-kali kerana kekurangan kata-kata, namun Dia masih sabar terhadap kita kerana Dia memiliki hubungan yang penuh kasih dengan kita. Dia senang hati apabila kita berhubung dengan-Nya melalui doa—walaupun kita tidak tahu apa yang harus diungkapkan.