Bapa saya pernah mengaku kepada saya, “Pada masa kamu membesar, saya selalu tidak dapat menemani kamu.”
Saya tidak ingat tentang hal itu. Selain menjalankan pekerjaannya sepenuh masa, dia sibuk mengarahkan latihan koir di gereja untuk beberapa waktu malam, dan kadangkala dia berpergian selama satu atau dua minggu bersama dengan sekumpulan kuartet koir lelaki. Namun bagi semua peristiwa penting (mahupun perkara yang kecil) dalam hidup saya—dia selalu ada.
Sebagai contoh, ketika saya berumur 8 tahun, saya terlibat dalam lakonan kecil di sekolah pada waktu petang. Semua ibu para pelajar lain telah hadir ke acara tersebut, tetapi hanya seorang bapa yang hadir—bapa saya. Dalam pelbagai acara kecil, dia selalu memastikan bahawa saya dan adik-beradik saya tahu bahawa kami adalah penting baginya, dan dia mengasihi kami. Ketika saya melihat kelembutannya waktu menjaga ibu saya dalam tahun-tahun terakhir hidupnya, dia mengajar saya tentang kasih yang tidak mementingkan diri sendiri. Bapa saya tidak sempurna, namun dia selalu merupakan bapa yang memberikan gambaran yang baik tentang Bapa kita yang di syurga. Secara ideal, itulah yang seharusnya dilakukan oleh seorang bapa Kristian.
Ada kalanya bapa kita yang di bumi mungkin mengecewakan kita atau menyakiti anak-anak mereka. Tetapi Bapa kita yang di syurga adalah “pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih” (Mazmur 103:8). Apabila seorang bapa yang mengasihi Tuhan membetulkan, menghibur, mengajar dan membekalkan keperluan anak-anaknya, dia mencerminkan Bapa syurgawi yang sempurna kepada mereka.