Sewaktu pancaragam konsert cucu perempuan kami dilangsungkan di sekolahnya, saya berasa kagum dengan budak-budak berumur 11-12 tahun ini yang memainkan muzik bersama dengan begitu baik. Sekiranya setiap seorang daripada pancaragam itu ingin menjadi pemain solo, maka mereka tidak mungkin dapat mencapai persembahan yang baik secara individu berbanding dengan persembahan secara berkumpulan. Alat-alat muzik tiupan kayu dan loyang serta alat genderang memainkan peranan masing-masing dan hasilnya adalah muzik yang merdu sekali!
Dalam surat kepada pengikut Yesus di Roma, Paulus menulis, “Sungguhpun bilangan kita banyak, tetapi kita satu tubuh kerana kita bersatu dengan Kristus. Kita semua dihubungkan satu dengan yang lain sebagai anggota-anggota daripada satu tubuh. Oleh itu kita harus menggunakan kurnia-kurnia yang berlainan, menurut rahmat-Nya yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.” (Roma 12:5-6). Antara kurnia yang disebut oleh Paulus, iaitu bernubuat, melayani, mengajar, mendorong, memberi, memimpin dan berbelas kasihan (ayat 7-8). Setiap kurnia sepatutnya dilakukan secara bebas untuk kebaikan semua orang (1 Korintus 12:7).
Salah satu definisi bagi perkataan Inggeris in concert ialah “persetujuan dalam bentuk atau rancangan; aksi bersama; harmoni atau kesatuan.” Itulah rancangan Tuhan bagi kita sebagai anak-anak-Nya dengan percaya kepada Yesus Kristus. “Kamu harus saling mengasihi dengan mesra sebagai saudara dalam keluarga Kristus. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat” (12:10). Tujuannya adalah bekerjasama, bukannya persaingan.
Dari satu sudut, kita seperti “membuat persembahan” di atas pentas, berhadapan dengan dunia yang melihat dan mendengar setiap hari. Tiada pemain solo dalam kumpulan konsert Tuhan, tetapi setiap peralatan adalah sangat penting. Muzik merupakan alat terbaik apabila setiap orang memainkan peranannya dalam kesatuan dengan orang lain.
Tidak ada pemain solo dalam orkestra Tuhan.