Pada musim bunga yang lalu, saya memutuskan untuk memotong semak bunga mawar di tepi pintu belakang rumah kami. Dalam tempoh tiga tahun sejak kami tinggal di rumah kami, ia belum pernah menghasilkan bunga, dan batangnya yang hodoh serta tidak berbuah sekarang mulai menjalar ke semua arah.
Namun kehidupan saya semakin sibuk, dan rancangan untuk semak bunga tersebut telah tergendala. Sebenarnya ini juga ada kebaikannya—kerana beberapa minggu kemudian, semak bunga mawar itu tiba-tiba berbunga seperti yang tidak pernah saya lihat. Ratusan bunga putih yang besar dengan haruman semerbak, kini bergantungan di pintu belakang, menjalar ke tapak halaman, dan menghujani tanah dengan kelopak yang indah.
Keberhasilan semak bunga mawar mengingatkan saya mengenai perumpamaan pokok ara yang dikatakan oleh Yesus dalam Lukas 13:6-9. Di Israel, ini satu kebiasaan untuk memberi tempoh selama tiga tahun kepada pohon ara untuk menghasilkan buah. Jika ia tidak berbuah, maka akan dipotong supaya tanah itu boleh digunakan untuk tanaman yang lebih baik. Dalam cerita Yesus, seorang pekebun meminta tuannya untuk memberi pokok ini tempoh sehingga tahun yang keempat untuk berhasil. Dalam konteks tersebut (ayat 1-5), perumpamaan ini sebenarnya bermaksud: Orang Israel tidak mengamalkan hidup yang sepatutnya, dan Tuhan akan menghakimi mereka dengan adil. Tetapi Tuhan adalah sabar dan telah memberi masa tambahan supaya mereka bertaubat dan kembali kepada-Nya, untuk diampuni dan berhasil.
Tuhan mahu semua orang berhasil, malah Dia telah memberikan masa tambahan supaya mereka dapat berhasil. Sama ada kita sedang menempuh perjalanan iman ini ataupun sedang berdoa untuk penyelamatan ahli keluarga dan kawan-kawan yang tidak percaya, kesabaran Tuhan merupakan berita baik bagi kita.