Sambil menghirup tehnya, Nancy memandang ke luar tingkap dari rumah sahabatnya dan mengeluh. Hujan musim bunga dan cahaya matahari telah memancarkan warna yang meluas daripada petak bunga-bunga bakung, floks, iris dan primrose.
“Alangkah baiknya jika saya boleh menikmati pemandangan itu,” katanya sayu, “tanpa perlu menjaga tumbuhan itu dengan susah payah.”
Jalan pintas adalah baik—bahkan praktikal. Namun jalan pintas yang lain mungkin boleh memadamkan semangat dan melenyapkan hidup kita. Kita mahukan percintaan tanpa kesukaran dan kesusahan dalam perhubungan dengan seseorang yang begitu berbeza daripada diri kita sendiri. Kita mahu mencapai “kehebatan” tanpa mengalami risiko dan kegagalan dalam pengembaraan hidup sebenar. Kita ingin menyenangkan hati Tuhan, tetapi menolak Dia apabila kesusahan menimpa kita.
Yesus menjelaskan kepada para pengikut-Nya bahawa tiada jalan pintas untuk mengelakkan diri daripada menyerahkan kehidupan kita kepada-Nya walaupun pilihan ini kadangkala susah. Dia memberi amaran kepada seorang yang ingin menjadi pengikut-Nya, “Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah” (Lukas 9:62). Untuk mengikut Kristus, kita perlu setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati.
Ketika kita percaya kepada Yesus, kerja-Nya baru bermula. Tetapi ini amat berbaloi, kerana Dia memberitahu kita bahawa setiap orang yang berkorban “untuk-Ku dan untuk Injil pasti akan menerima seratus kali ganda dalam dunia ini … pada kemudian hari, hidup kekal” (Markus 10:29-30). Usaha untuk mengikut Kristus adalah sukar, tetapi Dia telah memberikan kita Roh-Nya dan ganjarannya adalah kehidupan yang berkelimpahan dan gembira, sekarang dan selama-lamanya.