Ketika saya dan kakak saya membesar di Jamaica, ibu bapa saya mengajar kami untuk menjadi “orang baik.” Di keluarga kami, baik bermakna mentaati ibu bapa, bercakap benar, berjaya dalam pendidikan dan kerjaya, dan pergi ke gereja … sekurang-kurangnya pada hari Paska dan hari Krismas. Saya mengandaikan definisi untuk menjadi orang baik adalah fahaman yang biasa untuk ramai orang, tanpa mengira budaya. Sebenarnya dalam Filipi 3, rasul Paulus membawa maksud “menjadi orang baik” yang jauh lebih besar dengan menggunakan definisi dari segi budayanya.

Paulus, seorang Yahudi yang salih pada abad pertama, mematuhi hukum moral dalam budayanya dengan terperinci. Dia dilahirkan dalam keluarga yang “benar”, mempunyai pendidikan yang “benar”, dan mengamalkan agama yang “benar”. Dia orang baik yang sejati jika menurut adat Yahudi. Dalam ayat 4, Paulus menulis bahawa dia boleh berbangga dalam semua kebaikan itu jika dia mahu. Namun, dengan latar belakang yang begitu cemerlang, Paulus memberitahu pembacanya (dan kita) bahawa ada sesuatu yang lebih daripada menjadi baik. Dia tahu makna untuk menjadi baik, namun baik, itu tidak sama dengan menyenangkan hati Tuhan.

Hal menyenangkan hati Tuhan bagi Paulus dalam ayat-ayat 7-8, melibatkan mengenal Yesus. Paulus menganggap kebaikannya sendiri sebagai “sampah”, apabila dibandingkan dengan hal yang “lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus.” Kita dianggap baik—dan kita menyenangkan hati Tuhan—apabila harapan dan iman kita berfokus pada Kristus sahaja, bukan pada sifat baik diri kita.