Seorang wanita yang berhasrat untuk berdoa mengambil sebuah kerusi dan melutut di hadapannya. Dengan air matanya berlinang-linang, dia berkata, “Bapaku yang aku kasihi di syurga, sila duduk di sini; kita perlu bercakap!” Kemudian, memandang tepat pada kerusi kosong, dia berdoa. Dia menunjukkan keyakinan apabila mendekati Tuhan; dia membayangkan Dia sedang duduk di atas kerusi itu dan percaya Dia mendengar rayuannya.
Masa bersama Tuhan adalah masa yang penting apabila kita berhubung dengan Tuhan Yang Maha Kuasa. Tuhan akan menghampiri kita apabila kita menghampiri-Nya. Ini memerlukan penglibatan kedua-dua pihak (Yakobus 4:8). Dia meyakinkan kita: “Aku akan sentiasa bersamamu” (Matius 28:20). Bapa syurgawi kita sentiasa menunggu kita datang kepada-Nya, dan sentiasa bersedia mendengarkan kita.
Ada kalanya kita berasa sukar untuk berdoa kerana kita berasa letih, mengantuk, sakit dan lemah. Tetapi Yesus bersimpati dengan kita ketika kita lemah atau menghadapi godaan (Ibrani 4:15). Oleh itu kita boleh “tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya” (ayat 16).