Semasa saya singgah untuk melawat keluarga kakak saya, anak-anak buah saya sangat beria-ia untuk menunjukkan kepada saya sistem kerja harian mereka yang baru, iaitu sebuah set papan Choropoly. Setiap papan elektronik yang berwarna-warni akan mengawasi kerja harian mereka. Jika sesuatu kerja itu dilakukan dengan baik, maka ini bermakna bahawa budak-budak itu boleh menekan butang hijau, yang mana boleh menambah mata kepada akaun “perbelanjaan” mereka. Kesalahan seperti membiarkan pintu belakang rumah terbuka akan dikenakan hukuman iaitu beberapa mata akan ditolak. Oleh sebab mata tertinggi akan diberi ganjaran menarik seperti waktu bermain komputer—manakala kesalahan akan dikenakan penolakan mata keseluruhan—maka anak-anak buah saya sekarang sangat dimotivasikan untuk melakukan tugas mereka dan memastikan agar pintu belakang terus dalam keadaan tertutup!
Sistem yang bijak itu membuat saya berasa kelakar kerana saya teringin memiliki peralatan motivasi yang serupa itu! Namun Tuhan sudah memberikan motivasi kepada kita. Yesus tidak hanya memberi perintah agar kita patuh kepada-Nya, sebaliknya Dia berjanji bahawa hidup seseorang yang mengikut-Nya, sungguhpun harus bersedia untuk membuat pengorbanan, namun ia juga merupakan “hidup yang berlimpah-limpah” (Yohanes 10:10). Hidup dalam kerajaan-Nya adalah bernilai “seratus kali ganda”—sekarang dan selama-lamanya (Markus 10:29–30).
Kita boleh bersukacita kerana kita melayani Tuhan yang pemurah. Dia tidak membalas kejahatan kita dengan balasan yang sepatutnya. Dia dengan murah hati menerima usaha kita yang paling sedikit pun, bahkan menerima dan memberikan ganjaran kepada orang yang datang kemudian ke dalam kerajaan-Nya seperti Dia memberikan ganjaran kepada orang yang datang terlebih dahulu (lihat Matius 20:1–16). Berdasarkan realiti ini, marilah kita melayani-Nya dengan penuh sukacita pada hari ini.