Saya telah berpeluang untuk tinggal bersama dengan ibu saya serta menjadi penjaganya ketika dia menjalani rawatan di pusat rawatan kanser. Walaupun berada dalam keadaan yang amat sukar, ibu saya tetap membaca Alkitab dan berdoa bagi orang lain sebelum bangun dari katil.

Setiap hari dia meluangkan masa dengan Yesus, mengamalkan imannya melalui kebergantungannya kepada Tuhan, perlakuannya yang baik, dan keinginannya untuk memberi galakan dan berdoa bagi orang lain. Tanpa disedarinya, senyumannya yang berseri-seri disebabkan kasih kurnia Tuhan, dia telah berkongsi kasih Tuhan kepada orang di sekelilingnya sehinggalah Tuhan memanggilnya pulang ke syurga.

Selepas Musa menghabiskan masa selama empat puluh hari dan empat puluh malam untuk bersama-sama Tuhan (Keluaran 34:28), dia pun turun dari Gunung Sinai. Dia tidak sedar bahawa hubungan intimnya dengan Tuhan sebenarnya telah mengubah penampilannya (ayat 29). Tetapi orang Israel tahu bahawa Musa telah bercakap dengan Tuhan (ayat 30–32). Dia terus-menerus bertemu dengan Tuhan dan mempengaruhi kehidupan orang lain di sekelilingnya (ayat 33–35).

Kita mungkin tidak dapat melihat bagaimana pengalaman kita dengan Tuhan mengubah kita dari semasa ke semasa, dan perubahan kita sudah tentunya tidak kelihatan secara nyata melalui fizikal seperti cahaya yang bersinar pada wajah Musa. Namun sewaktu kita mengambil masa untuk bersama-sama Tuhan dan semakin menyerahkan kehidupan kita kepada-Nya setiap hari, maka kita boleh memantulkan kasih-Nya. Tuhan boleh membawa orang lain lebih dekat dengan-Nya sewaktu bukti hadirat-Nya diperlihatkan dalam dan melalui kita.