Setiap kita merupakan ciptaan asli tangan Tuhan. Tiada seorang pun lelaki atau perempuan yang mencipta dirinya sendiri. Tiada seorang pun yang memperoleh bakat ataupun kecerdikan disebabkan oleh dirinya sendiri. Kita diciptakan oleh Tuhan sendiri. Dia mempedulikan kita serta membentuk kita berdasarkan kasih-Nya yang tidak terkata.

Tuhan mencipta tubuh, minda, dan jiwa anda. Rancangan-Nya dalam hidup anda belum selesai; Dia masih membentuk anda agar kita mencapai satu-satu tujuan-Nya, iaitu menjadi matang: “Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus” (Filipi 1:6). Tuhan sedang menjadikan anda seorang yang lebih berani, kuat, murni, aman damai, mengasihi, kurang mementingkan diri sendiri—ciri-ciri peribadi yang mungkin anda selalu impikan.

“Kerana TUHAN baik, kasih-Nya untuk selama-lamanya; dan kesetiaan-Nya kekal turun-temurun, zaman-berzaman” (Mazmur 100:5). Tuhan senantiasa mengasihi anda, dan Dia ialah Tuhan yang kekal setia.

Anda telah dikurniakan kasih yang kekal selamanya serta diberikan Tuhan yang tidak pernah berputus asa ke atas anda. Itulah sebabnya kita harus bersukacita dan “datang ke hadirat-Nya dengan nyanyian”! (ayat 2).

Jika anda tidak dapat bernyanyi, buatlah begini: “Bersorak rianglah kepada TUHAN” (ayat 1).