Pada musim panas 2016, anak buah perempuan saya meyakinkan saya untuk bermain Pokémon Go—satu permainan yang dimainkan dalam telefon pintar, dengan menggunakan kamera telefon. Matlamat permainan itu adalah menangkap makhluk kecil yang dipanggil Pokémon. Jika seekor Pokémon muncul dalam permainan tersebut, maka sebuah bola berwarna merah dan putih juga akan muncul pada skrin telefon. Untuk menangkap seekor Pokémon, pemain harus melemparkan bola ke arahnya dengan gerakan satu jari. Bagaimanapun, Pokémon akan lebih mudah ditangkap dengan cara yang menarik perhatian mereka, iaitu melalui teknik godaan.
Watak Pokémon bukanlah satu-satunya perkara yang boleh digoda. Yakobus yang merupakan adik Yesus, mengingatkan kita melalui suratnya kepada orang percaya bahawa kita “tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri” (1:14, tulisan italik ditambahkan). Dengan kata lain, keinginan kita yang jahat “bekerjasama” dengan pencubaan untuk menggoda kita menuju ke jalan yang salah. Walaupun kita mungkin tergoda untuk mempersalahkan Tuhan ataupun Iblis untuk masalah-masalah kita, namun bahaya sebenar ada dalam diri kita.
Namun kita boleh bersyukur, kerana kita boleh terlepas daripada godaan pencubaan dengan bercakap dengan Tuhan tentang perkara-perkara yang mencubai kita. Walaupun “Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak pernah menggoda sesiapa,” seperti yang dihuraikan oleh Yakobus dalam 1:13, namun Dia faham akan kecenderungan manusia untuk berbuat dosa. Kita hanya perlu meminta Tuhan memberi kita hikmah seperti yang dijanjikan-Nya (1:1–6).
tunjukkanlah aku jalan keluar.