Bertahun-tahun lamanya, saya berulang-kali menceritakan sebuah kisah lama di Ghana ketika saya dan adik saya masih kecil. Saya masih ingat, adik telah meletakkan basikal lama kami yang beroda tiga di atas seekor ular tedung kecil. Basikal itu terlalu berat bagi ular itu sehingga ia terus terperangkap di bawah hadapan roda basikal.
Tetapi selepas kedua-dua ibu saudara dan ibu saya meninggal dunia, kami telah menemui sepucuk surat ibu yang menceritakan kisah tersebut, surat yang kami ingat telah lama hilang. Sebenarnya, saya yang meletakkan basikal di atas ular itu, dan adik saya bergegas lari untuk memberitahukan hal itu kepada ibu kami. Ibu saya telah menyaksikan peristiwa yang sebenar, dan kebenaran bagi kejadian ini telah didedahkan.
Ahli sejarah Lukas memahami kepentingan rekod yang tepat. Dia menerangkan cerita tentang Yesus yang telah “diberitakan kepada kita oleh saksi-saksi pertama” (Lukas 1:2). “Aku berfikir eloklah aku mengarang cerita-Nya dengan teratur untuk tuan,” tulisnya kepada Teofilus, “supaya tuan tahu dengan pastinya perkara-perkara yang telah diajarkan kepada tuan” (ayat 3–4). Hasilnya ini menjadi kitab Lukas. Kemudian, dalam pengenalannya kepada kitab Kisah Para Rasul, Lukas berkata tentang Yesus, “Dia telah menampakkan diri-Nya dalam keadaan hidup kepada mereka selepas kesengsaraan-Nya dengan banyak keterangan sahih” (Kisah Para Rasul 1:3).
Iman kita bukan berdasarkan khabar angin atau angan-angan. Ia berakar kepada kehidupan Kristus yang didokumentasikan dengan sangat baik, Dia yang datang untuk mendamaikan kita dengan Tuhan. Cerita-Nya adalah benar dan tak lapuk dek masa.