Pada tahun 2002, beberapa bulan selepas saudari saya, Martha dan suaminya, Jim, meninggal dunia akibat suatu kemalangan, seorang sahabat menjemput saya ke Bengkel ‘Bertumbuh Melalui Kedukaan’ yang dianjurkan di gereja kami. Dengan berat hati, saya bersetuju untuk mengikuti sesi pertama namun tiada niat untuk meneruskannya. Saya sangat terkejut apabila bertemu dengan sekumpulan komuniti yang sangat penyayang sedang berdepan dengan kehilangan yang besar dalam kehidupan mereka, dengan meminta bantuan daripada Tuhan dan saling mendorong. Minggu demi minggu, saya berasa dikuatkan saat saya berusaha untuk menuju ke arah menerima hakikat tentang tragedi itu dan mengalami kedamaian melalui perkongsian kedukaan kami.
Seperti kehilangan seorang kawan atau orang yang dikasihi tanpa diduga, kematian Stefanus, orang percaya yang giat bersaksi untuk Yesus, membawa kejutan dan kesedihan kepada jemaah dalam gereja awal (Kisah Para Rasul 7:57-60). Di tengah-tengah penganiayaan, “Beberapa orang yang salih mengebumikan Stefanus dan amat meratapi kematiannya” (8:2). Beberapa orang yang beriman ini telah melakukan dua perkara bersama. Mereka mengebumikan mayat Stefanus, sebagai tindakan kehormatan dan ratapan bagi kehilangan. Mereka juga berkabung selama berhari-hari, mengungkapkan kesedihan bersama-sama tentang Stefanus.
Sebagai pengikut Yesus, kita tidak seharusnya meratapi kehilangan kita secara bersendirian. Kita boleh mendekati mereka yang sedang meratapi dengan ikhlas dan penuh kasih, dan dengan rendah hati, kita menerima perhatian mereka yang memerhatikan kita.
Apabila kita berkongsi kesedihan, kita semakin memahami dan mengalami kedamaian yang diberikan kepada kita melalui Yesus Kristus, Peribadi yang mengetahui kesedihan kita yang mendalam.