Baru-baru ini saya menemukan beberapa buah jurnal saya yang ditulis semasa berada di universiti dan saya tidak dapat menahan diri untuk membacanya semula. Sewaktu membaca jurnal tersebut, saya menyedari bahawa diri saya menjadi tidak sama lagi jika dibandingkan dengan masa yang lalu. Pada ketika itu, saya mengalami pergelutan besar terhadap kesunyian dan keraguan tentang iman. Namun mengimbas kembali keadaan pada saat itu memampukan saya melihat dengan jelas tentang Tuhan yang telah membawa saya ke tempat yang lebih baik selama ini. Pimpinan Tuhan yang lemah lembut telah membawa saya melangkah keluar daripada masa-masa yang sukar. Ini juga mengingatkan saya tentang kesukaran pada hari ini akan menjadi sebahagian kisah yang luar biasa tentang kasih Tuhan yang membawa pemulihan pada masa akan datang.
Mazmur 30 merupakan nyanyian pemazmur yang disertai dengan ketakjuban dan pengucapan syukur terhadap kuasa pemulihan Tuhan yang hebat; kesakitan kepada kesembuhan, ancaman maut kepada kehidupan, penghukuman Tuhan menjadi pengampunan, kedukaan menjadi kegembiraan (ayat 2-3,11).
Mazmur ini ditulis oleh Daud, seorang peribadi yang mengalami begitu banyak kesukaran yang kita boleh baca dalam Alkitab. Namun Daud turut mengalami pemulihan yang sangat dahsyat sehingga dia membuat pengisytiharan ini, “Tangisan mungkin berlangsung semalaman, tetapi kegembiraan muncul sewaktu pagi” (ayat 5). Di sebalik setiap keperitan yang ditempuhinya, Daud menemui sesuatu yang lebih hebat—Tangan penyembuhan Tuhan yang begitu berkuasa.
Sekiranya saat ini anda sedang melalui masa-masa yang sukar dan memerlukan dorongan, imbas kembali saat-saat yang Tuhan membawa anda melangkah ke arah pemulihan. Berdoalah untuk keyakinan bahawa Dia akan melakukan hal yang sama lagi.