Ibu saya dan saudari-saudarinya masih melibatkan diri dalam suatu karya kesenian yang kian pupus, iaitu menulis surat. Setiap minggu mereka akan saling mengirimkan surat dengan begitu kerap sehingga penghantar surat mereka berasa risau sekiranya dia tiada surat yang harus dihantar kepada mereka! Surat-surat mereka begitu penuh dengan kisah-kisah kehidupan, kegembiraan dan suka duka, serta kisah-kisah yang berlaku dalam kehidupan seharian bersama keluarga dan kawan-kawan mereka.
Saya sangat tertarik akan rutin mingguan yang dilakukan oleh wanita-wanita dalam keluarga saya. Ini mendorong saya lebih menghayati kata-kata Rasul Paulus bahawa mereka yang mengikut Yesus ialah “surat kiriman Kristus”, mereka yang “ditulis bukan dengan dakwat, tetapi dengan Roh daripada Allah yang hidup” (2 Korintus 3:3). Dalam usaha untuk mencegah tindakan guru-guru palsu yang berniat untuk memesongkan ajarannya, Paulus mendorong jemaah di Korintus tetap setia untuk mengikut Tuhan yang benar dan hidup menurut ajaran yang sudah disampaikan olehnya. Dengan berbuat demikian, Rasul Paulus menggelari mereka yang percaya kepada Kristus sebagai surat Kristus. Kehidupan mereka yang telah diubah melalui pelayanan Rasul Paulus menjadikan mereka sebagai saksi Kristus yang sangat berkuasa, mahupun melebihi kesan yang dibawa oleh apa-apa surat kiriman yang pernah ditulis.
Betapa indahnya Roh Tuhan yang tinggal dalam kita telah menulis kisah rahmat serta karya penebusan-Nya dengan begitu giat. Sepertimana pentingnya kata-kata yang dinyatakan dalam tulisan, demikian juga kehidupan kita merupakan sumber kesaksian yang terbaik bagi kebenaran injil, kerana semua ini memberikan banyak maklumat melalui kisah-kisah belas kasihan, pelayanan, kesyukuran serta sukacita kita. Tuhan menceritakan karya kehidupan-Nya yang penuh kasih melalui perkataan dan tindakan kita. Apakah kisah yang akan anda kongsi pada hari ini?
agar aku boleh mencerminkan kasih
dan kebaikan-Mu kepada sesiapa yang aku jumpa pada hari ini.