John Babler ialah paderi bagi jabatan polis dan bomba dalam komunitinya di Texas, Amerika Syarikat. Semasa cuti sabatikal selama 22 minggu daripada kerjanya, dia menjalani latihan akademi polis supaya dia boleh lebih memahami situasi yang dihadapi oleh pegawai-pegawai penguat kuasa undang-undang. Melalui masa latihan bersama dengan kadet-kadet yang lain dan mempelajari cabaran yang gigih dalam profesion itu, Babler mempelajari kerendahan hati dan empati yang baharu. Pada masa akan datang, dia berharap menjadi lebih berkesan apabila dia menasihati pegawai polis yang bergelut dengan desakan tekanan, keletihan dan kehilangan.
Kita tahu bahawa Tuhan memahami situasi yang kita hadapi kerana Dia mencipta kita dan memahami segala yang berlaku kepada kita. Kita juga tahu bahawa Dia memahami kerana Dia telah datang ke bumi ini dan menjalani kehidupan sebagai manusia. Dia “menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita” sebagai Yesus Kristus (Yohanes 1:14).
Yesus mengalami pelbagai kesusahan dalam kehidupan semasa di dunia ini. Dia pernah mengalami kepanasan di bawah matahari terik, kelaparan, dan ketidakpastian kerana tiada tempat kediaman. Secara emosi, Dia menahan ketegangan perselisihan, kehangatan pengkhianatan, dan ancaman kekejaman yang terus berlaku.
Yesus mengalami kebahagiaan persahabatan dan kasih keluarga, dan masalah-masalah terburuk yang kita hadapi di dunia ini. Namun Dia membekalkan harapan. Dia adalah Penasihat Ajaib yang sabar mendengar kerisauan kita dengan pemahaman dan perhatian (Yesaya 9:6). Dia adalah Maha Esa yang boleh berkata, “Saya pernah melaluinya. Saya memahami.”