Tham Dashu merasai kekosongan dalam kehidupannya. Jadi dia mulai pergi ke gereja-gereja yang juga dihadiri oleh anak perempuannya. Akan tetapi, mereka tidak pernah pergi bersama-sama. Rupa-rupanya dia telah menyinggung perasaan anak perempuannya pada masa lalu, hal ini pun telah merenggangkan perhubungan mereka. Jadi, Tham akan menyelinap ke dalam gereja apabila nyanyian pujian bermula, kemudian dia akan meninggalkan gereja dengan pantas selepas ibadat berakhir.
Ahli-ahli gereja berkongsi cerita injil dengannya, tetapi Tham selalunya dengan sopan menolak jemputan mereka untuk menaruh keyakinannya dalam Yesus. Namun, dia terus datang ke gereja.
Pada suatu hari, Tham jatuh sakit tenat. Anak perempuannya memberanikan diri untuk menulis surat kepada Tham. Dia berkongsi bagaimana Yesus telah mengubah hidupnya, dan dia amat ingin berdamai dengan ayahnya. Pada malam itu, Tham menaruhkan kepercayaannya pada Yesus dan keluarga itu berdamai. Selepas beberapa hari, Tham meninggal dunia dan memasuki ke dalam hadirat Yesus—berdamai dengan Tuhan dan orang kesayangannya.
Rasul Paulus menulis bahawa kita harus “berusaha meyakinkan orang” mengenai kebenaran kasih dan pengampunan Tuhan (2 Korintus 5:11). Dia berkata bahawa “kasih Kristus menguasai hidup [kita]” untuk melaksanakan pendamaian-Nya (ayat 14).
Kerelaan kita untuk mengampuni orang mungkin akan membantu orang lain sedar bahawa Tuhan berhasrat untuk mendamaikan kita dengan diri-Nya (ayat 19). Adakah anda bersandar kepada kuasa Tuhan untuk mempamerkan kasih Tuhan kepada mereka pada hari ini?