Saya berjumpa Mary pada setiap hari Selasa ketika saya menziarahi “Rumah Itu”—sebuah pusat yang membantu bekas banduan untuk berhubung semula dengan masyarakat. Hidup saya kelihatan berbeza daripada kehidupannya yang: baru keluar dari penjara, melawan ketagihan, terpisah daripada anak lelakinya. Mungkin anda boleh berkata bahawa dia tinggal di pinggir masyarakat.
Seperti Mary, Onesimus tahu apa maknanya hidup di pinggir masyarakat. Sebagai seorang hamba, Onesimus telah melakukan kesalahan terhadap tuannya, Filemon yang merupakan orang Kristian. Kini dia dikurung atas kesalahan itu. Semasa di penjara, dia bertemu dengan Paulus lalu percaya kepada Kristus (ayat 10). Walaupun kini dia merupakan seorang yang telah berubah, namun Onesimus masih berstatus sebagai seorang hamba. Maka Paulus menghantar dia kembali kepada Filemon dengan surat yang menggesa agar Filemon menerima semula Onesimus, kerana “kini dia bukan hanya seorang hamba, dia saudara yang dikasihi” (Filemon 1:16).
Filemon perlu membuat pilihan: Dia boleh menganggap Onesimus sebagai hamba, atau menyambut dia sebagai saudara dalam Kristus. Saya juga perlu membuat pilihan. Adakah saya akan melihat Mary sebagai seorang bekas banduan dan penagih yang dalam pemulihan, ataupun sebagai seorang wanita yang hidupnya sedang diubah oleh kuasa Kristus? Mary merupakan saudari saya dalam Tuhan, dan kami memiliki hak istimewa untuk berjalan bersama dalam perjalanan iman.
Ini memang mudah untuk membiarkan dinding taraf sosioekonomi, kelas, atau perbezaan budaya memisahkan kita. Namun Injil Kristus mengalihkan halangan tersebut, mengubah kehidupan dan hubungan kita selama-lamanya.