Beberapa tahun yang lalu, seorang penerbit telah membuat satu kesilapan besar. Sebuah buku telah berada di pasaran untuk beberapa tahun, jadi tiba masanya untuk membuat perubahan. Maka pengarang itu pun menulis semula buku tersebut untuk membuatnya relevan dengan aliran zaman. Namun apabila edisi semakan ini diterbitkan, mereka menemui masalah. Rupanya penerbit itu telah memberikan kulit buku baharu yang sangat baik pada buku tersebut tetapi memasukkan isi kandungan yang lama.
Bahagian luar buku itu kelihatan baharu dan segar, namun isi kandungannya sudah menjadi lapuk dan ketinggalan zaman. “Cetakan semula” ini sebenarnya tidak baharu sama sekali.
Kadang-kadang hal sebegini berlaku kepada manusia. Mereka menyedari bahawa perubahan perlu dibuat dalam kehidupan mereka. Ada banyak perkara sedang menuju ke arah yang salah. Oleh itu, mereka mungkin mengenakan rupa luaran yang baharu tanpa melakukan perubahan penting dalam hati mereka. Mereka mungkin mengubah tingkah laku dari luaran tetapi tidak menyedari bahawa hanya Tuhan yang boleh mengubah bahagian dalaman kita.
Dalam Yohanes 3, Nikodemus menyedari kenyataan sedemikian kerana Yesus datang “daripada Allah” (ayat 2). Yesus menawarkan sesuatu yang sangat berbeza. Apa yang diberitahu oleh Yesus kepada Nikodemus telah membuat dia menyedari bahawa maksud Yesus adalah seseorang harus mengalami pembaharuan (ayat 4): Dia perlu “dilahirkan semula,” untuk menjadi manusia baru sepenuhnya (ayat 7).
Perubahan itu datang hanya melalui kepercayaan kepada Yesus Kristus. Itu berlaku apabila “hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru” (2 Korintus 5:17). Adakah anda memerlukan perubahan? Percayalah kepada Yesus. Hanya Dia yang mampu mengubah hati anda dan membuat segala sesuatu menjadi baharu.
Hanya Tuhan yang dapat membaharui kita.