Ketika anak lelaki kami bergelut dengan ketagihan heroin, jika anda memberitahu saya bahawa suatu hari nanti Tuhan akan menggunakan pengalaman kami ini untuk menggalakkan keluarga lain yang menghadapi pergelutan yang sama, saya sukar untuk mempercayainya. Tuhan mempunyai cara untuk membawa keluar kebaikan melalui keadaan-keadaan yang sukar, yang selalunya tidak mudah dikesan apabila anda sedang melaluinya.

Rasul Tomas juga tidak menjangka Tuhan akan membawa keluar kebaikan melalui cabaran imannya yang terbesar—penyaliban Yesus. Tomas tidak bersama-sama pengikut-pengikut lain ketika Yesus datang kepada mereka selepas kebangkitan, dan dalam kesedihan yang amat mendalam, dia menegaskan, “Selagi aku tidak melihat sendiri bekas paku di tangan-Nya, dan memasukkan jariku ke dalam bekas luka itu … aku tidak mahu percaya” (Yohanes 20:25). Tetapi kemudian, apabila Yesus muncul di kalangan para pengikut-Nya, Roh Tuhan telah mengilhamkan satu penyataan iman yang jelas serta menembusi awan keraguan. Apabila Tomas berseru, “Ya Tuhanku! Ya Allahku!” (ayat 28), pada saat itu dia memahami bahawa Yesus adalah sebenarnya Tuhan yang telah menjadi manusia, betul-betul berdiri di hadapannya. Ia merupakan satu pengakuan iman yang berani serta menggalakkan dan mengilhamkan setiap orang Kristian pada setiap abad yang seterusnya.

Tuhan kita mampu mengilhamkan iman yang segar dalam hati kita, walaupun pada ketika kita kurang menjangkakannya. Kita boleh sentiasa mengharapkan kesetiaan-Nya. Tidak ada yang mustahil bagi Dia!