Pada bulan November 2015, saya diberitahu bahawa saya perlu menjalani pembedahan jantung. Dengan perasaan terkejut dan sedikit gentar, frasa “saya akan mati” telah terlintas dalam fikiran saya. Adakah sebarang hubungan yang perlu saya perbaiki? Adakah hal-hal kewangan yang perlu saya selesaikan untuk keluarga saya? Adakah kerja-kerja yang boleh dilakukan terlebih dahulu? Bagaimana dengan tugas-tugas yang tidak boleh ditangguh; siapakah yang boleh saya serahkan tugas itu? Inilah masa saya perlu mengambil tindakan dan berdoa.

Namun hakikatnya, saya tidak mampu bertindak atau berdoa pun.

Tubuh saya sangat letih dan fikiran saya begitu penat sehingga tugas-tugas yang paling mudah pun seolah-olah di luar kemampuan saya. Mungkin hal yang paling mengejutkan adalah, apabila saya cuba berdoa, keresahan akan melayang-layang dalam fikiran saya, atau pernafasan saya yang lemah akibat masalah jantung membuatkan saya tertidur. Hal ini amat mengecewakan. Saya tidak dapat bekerja malah tidak dapat meminta agar Tuhan mengizinkan saya hidup supaya saya boleh meluangkan lebih banyak waktu bersama dengan keluarga saya!

Ketidakupayaan untuk berdoa paling merisaukan saya. Namun seperti semua keperluan manusia lain, Pencipta sudah mengetahui bahawa hal ini sedang berlaku kepada saya. Akhirnya saya akan mengingat kembali bahawa Tuhan membuat dua persiapan untuk perkara-perkara sebegini dalam kehidupan kita: Roh Kudus berdoa untuk kita apabila kita tidak boleh berdoa (Roma 8:26); dan orang lain mendoakan kita (Yakobus 5:16; Galatia 6:2).

Alangkah terhiburnya saya apabila mengetahui bahawa Roh Kudus telah menyampaikan keresahan saya di hadapan Bapa. Ini juga hadiah besar apabila mendengar bahawa rakan-rakan dan keluarga berdoa untuk saya. Datangnya lagi satu kejutan lain: Semasa rakan-rakan dan keluarga saya meminta perkara-perkara doa saya, jelas bahawa Tuhan juga telah mendengar permintaan doa saya. Ini hadiah yang indah kerana pada saat kita berada dalam situasi yang tidak menentu, kita diingatkan bahawa Tuhan mendengar keluhan hati kita walaupun kita merasakan kita tidak dapat berdoa kepada-Nya.