Pada hari pertamanya di tadika, Charlotte disuruh melukis potretnya sendiri. Dia telah melukis satu bulatan untuk tubuh yang ringkas dengan kepala yang bujur, dan dua biji mata yang bulat. Pada hari terakhirnya di sekolah tadika, Charlotte disuruh lagi untuk melukis potretnya. Kali ini, dia melukis seorang budak perempuan yang memakai baju yang berwarna-warni, senyuman yang cantik pada wajah serta rambut panjang berwarna merah yang mengurai. Tugasan yang mudah ini telah digunakan oleh sekolah tersebut untuk menunjukkan pengaruh masa atas tahap kematangan seseorang.
Walaupun kita menerima hakikat bahawa kanak-kanak memerlukan masa untuk menjadi matang, kita mungkin berasa tidak sabar dengan diri kita atau rakan seiman kita yang lambat matang secara rohani. Kita bergembira ketika melihat “buah Roh” (Galatia 5:22-23), tetapi menjadi tawar hati ketika melihat orang membuat pilihan yang berdosa. Penulis surat Ibrani menyatakan hakikat ini apabila dia menulis kepada jemaah: “Sepatutnya sekarang ini kamu sudah boleh mengajar, tetapi kamu masih perlu diajar lagi tentang asas-asas pertama firman Allah; seolah-olah kamu masih perlu minum susu sahaja, belum boleh menerima makanan pepejal” (Ibrani 5:12).
Sementara mengejar keintiman bersama Yesus, marilah kita saling mendoakan, dan dengan sabar mendampingi orang yang mengasihi Tuhan tetapi kelihatan sedang bergelut dalam pertumbuhan rohani mereka. Marilah kita terus saling menggalakkan, “sentiasa bercakap benar dalam kasih,” agar kita sama-sama “bertumbuh dalam segala hal ke arah Dia yang menjadi Kepala, iaitu Kristus” (Efesus 4:15).