Saya mendengar sebuah lagu berjudul “Dear Younger Me” ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Seni kata lagunya berbunyi: Seandainya kamu boleh kembali ke masa silam, apa yang akan kamu katakan kepada dirimu yang muda, setelah mengetahui apa yang kamu ketahui sekarang? Saya mendengar lagu itu sambil merenungkan kata-kata hikmah dan amaran yang saya mungkin akan berikan kepada diri sendiri ketika saya masih orang muda yang naif. Pada peringkat yang tertentu dalam hidup kita, kebanyakan kita pernah berfikir bahawa alangkah baiknya jika hidup kita berpeluang kembali ke saat mula-mula—mungkin hidup kita akan berbeza daripada masa sekarang.
Akan tetapi, lagu itu menggambarkan bahawa walaupun masa silam kita mungkin penuh dengan kesalan, semua pengalaman kita telah membentuk siapa kita. Kita tidak dapat berpatah balik atau mengubah semua akibat daripada pilihan atau dosa kita. Tetapi kita memuji Tuhan kerana kita tidak perlu menanggung beban dan kesalahan masa silam kita yang berat itu, “kerana belas kasihan [Allah] yang amat besar Dia telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian” (1 Petrus 1:3). Yesus telah melakukannya untuk kita!
Jika kita menyesali dosa kita dan datang kepada Yesus dalam iman, Dia akan mengampuni kita. Maka ketika itu juga kita dibaharui dan memulakan kehidupan yang baru secara rohani (2 Korintus 5:17). Kita telah diampuni kerana segala yang dilakukan Yesus, bukan kerana apa yang telah atau belum kita lakukan. Kita boleh terus melangkah ke hadapan, menjalani hidup ini sebaik-baiknya dan menantikan masa hadapan untuk bersama dengan Yesus. Dalam Kritus, kita telah bebas!
kepada Tuhan.