Ketika saya dan suami saya mula-mula diminta untuk mengadakan sebuah kelompok sel di rumah kami, saya menolak permintaan ini dengan segera. Rumah kami kecil, tidak mempunyai tempat duduk yang cukup dan tidak dapat memuatkan ramai orang. Saya ragu-ragu jika kami mampu mengetuai perbincangan dalam kumpulan. Saya juga bimbang kalau diminta untuk menyediakan makanan kerana saya kurang mahir dan kekurangan dari segi kewangan. Saya berasa serba kekurangan dan tidak ada keghairahan untuk menjalankannya. Tetapi kami ingin berbakti kepada Tuhan dan komuniti kami, jadi kami bersetuju meskipun kami bimbang. Selama lima tahun berikutnya, kami berasa amat bahagia kerana dapat melayani kelompok sel tersebut yang bertempat di ruang tamu rumah kami.
Keberatan dan keraguan yang serupa dapat saya lihat dalam seorang lelaki yang membawa roti bagi Elisa, seorang hamba Tuhan. Elisa telah menyuruhnya memberikan roti itu kepada orang untuk dimakan, tetapi dia ragu-ragu kalau 20 ketul roti cukup untuk memberi makan kepada 100 orang. Dia ragu-ragu hendak memberikan makanan itu kerana dalam keadaan biasa, ia memang tidak cukup. Namun makanan itu lebih daripada cukup, malah “ada sisanya” (2 Raja-Raja 4:44). Ini kerana dengan taat dia memberi, maka Tuhan menerima pemberiannya dan menjadikannya cukup.
Apabila kita berasa kita serba kekurangan untuk memberi, atau memikirkan apa yang kita beri itu tidak cukup, ingatlah bahawa Tuhan menyuruh kita memberikan apa yang kita miliki dengan ketaatan. Tuhan sendiri akan menjadikannya “cukup”.