Selama lima tahun, sebuah cap mohor zaman kuno yang diperbuat daripada tanah liat telah disimpan di bilik stor Institut Arkeologi Yerusalem. Selepas cap mohor tersebut ditemui di bawah tembok bahagian selatan kota kuno Yerusalem, kajian pada peringkat awal gagal mengiktiraf keistimewaannya sebagai objek yang berusia hampir 3000 tahun itu. Namun seorang pakar arkeologi berjaya meneliti tulisan Ibrani kuno pada cap mohor yang berbunyi: “Milik raja Yehuda, Hizkia anak Ahas.”
Di tengah-tengah mohor itu, terukir gambar matahari berkepak dua dan di sebelah-menyebelahnya terukir imej yang melambangkan hidup. Dipercayai bahawa Raja Hizkia menggunakan cap mohor ini sebagai lambang perlindungan Tuhan selepas dia disembuhkan oleh Tuhan daripada penyakit yang hampir meragut nyawanya (Yesaya 38:1-8). Raja Hizkia telah memohon kesembuhan daripada Tuhan dan Tuhan mengabulkan permohonannya. Sebagai tanda bahawa Tuhan akan menunaikan janji-Nya kepada Hizkia, Dia berkata kepadanya, “[AKU] akan membuat bayangan penunjuk jam matahari yang dibina oleh Raja Ahas, undur sepuluh garis (Yesaya 38:8, Alkitab BB).
Fakta-fakta yang berkaitan dengan artifak arkeologi ini memberikan peringatan yang menggalakkan bahawa orang pada zaman Alkitab juga berseru kepada Tuhan seperti kita dan permohonan mereka didengar-Nya. Walaupun jawapan Tuhan tidak seperti yang kita inginkan atau harapkan, kita harus tetap yakin bahawa Dia adalah Tuhan yang berbelas kasihan dan berkuasa. Sebagaimana Dia dapat menggerakkan matahari, hati kita juga dapat digerakkan-Nya.