Saya dan suami saya duduk dalam sebuah bilik hospital menunggu dengan cemas, sementara anak lelaki kami yang kecil sedang menjalani pembedahan pembetulan penglihatan. Saya berasa amat resah. Saya cuba berdoa dan memohon kepada Tuhan untuk memberikan saya ketenangan. Sambil saya menyelak-nyelak Alkitab, saya teringat akan Yesaya 40, jadi saya membuka petikan itu lalu merenungkannya, tertanya-tanya jika saya akan menemui pedoman baru daripada bab tersebut.
Tatkala saya membacanya, saya berasa sangat lega kerana apa yang sudah lama tertulis dalamnya mengingatkan saya bahawa Tuhan “seperti seorang gembala. Dia mengumpulkan anak domba dengan tangan-Nya dan mendukung mereka rapat ke dada-Nya” (ayat 11). Pada ketika itu, kebimbangan saya pun lenyap apabila saya sedar bahawa Tuhan sedang mendukung, memimpin dan menjaga kami. Itulah yang saya perlukan, ya Tuhan, saya berbisik dalam hati. Saya dapat bertenang dalam Tuhan sepanjang dan selepas pembedahan itu (syukurlah segalanya berjalan dengan lancar).
Tuhan berjanji kepada umat-Nya melalui nabi Yesaya bahawa Dia akan menjadi gembala mereka yang memberikan bimbingan dan penghiburan dalam kehidupan harian mereka. Kita juga boleh mengalami penjagaan-Nya yang lemah lembut apabila kita menyerahkan segala keresahan kita dan memohon kedamaian dan kasih daripada-Nya. Kita tahu bahawa Dia ialah gembala yang baik, Tuhan yang mendukung kita rapat ke dada-Nya dan menunjang kita dengan tangan-Nya yang kekal abadi.