Mark Labberton menulis tentang kuasa sesuatu nama dalam artikelnya yang bertajuk “Leading by Name.” Dia berkata, “Saya masih dapat merasakan pengaruh daripada seorang sahabat yang bekerja sebagai pemuzik memanggil saya ‘muzikal’. Tiada seorang pun pernah memanggil saya sedemikian. Saya bukannya mahir memainkan alat muzik. Lagipun saya bukan seorang pemuzik solo. Namun … dengan serta-merta saya berasa bahawa saya dikenali dan dikasihi … Jati diri saya diketahui, disahkan, dan dihargai.”
Mungkin itulah yang dirasakan oleh Simon ketika Yesus menamakan dia semula. Setelah Andreas yakin bahawa Yesus ialah Mesias, dengan segera dia mencari saudaranya, Simon dan membawa dia berjumpa dengan Yesus (1:41-42). Yesus menyelami jiwa Simon dan mengesahkan serta menghargai keperibadian sejati Simon. Walaupun Yesus melihat kegagalan dan sikap Petrus yang bertindak terburu-buru akan membawa masalah kepada dia, namun Yesus juga melihat potensi Petrus untuk menjadi seorang pemimpin gereja. Yesus memanggilnya ‘Kefas’— Petrus dalam bahasa Aramia yang bererti batu (Yohanes 1:42; Lihat Matius 16:18).
Demikian juga dengan kita. Tuhan melihat keangkuhan, kemarahan dan kekurangan kasih kita terhadap orang lain, tetapi Dia juga tahu siapa kita dalam Kristus. Dia memanggil kita sebagai orang yang telah diperbenar dan didamaikan dengan Tuhan (Roma 5:9-10); diampuni, disucikan, dikasihi (Kolose 2:13; 3:12); dipilih serta setia (Wahyu 17:14). Ingatlah bagaimana Tuhan memandang kita kerana ia akan menentukan siapa kita yang sebenarnya.