Pada suatu hari ketika sudah hampir selesai makan tengah hari dengan kakak saya dan anak-anaknya, kakak saya berkata kepada Annica, anak perempuannya yang berumur 3 tahun bahawa dia mesti bersedia untuk tidur petang. Wajahnya terus murung. “Tapi Mak Cik Monica belum dukung saya hari ini!” dia membantah serta matanya bergenangan dengan air mata. Kakak saya tersenyum. “Okey, berapa lama anda menginginkan Mak Cik mendukung anda?” “Lima minit,” kata Annica dengan wajah yang terus menjadi berseri-seri.

Semasa mendukung anak saudara saya itu, saya berasa sangat bersyukur kerana dia mengingatkan saya bagaimana rasanya mengasihi dan dikasihi orang. Saya berfikir mungkin kadang-kadang kita terlupa bahawa salah satu pelajaran dalam perjalanan iman kita ialah mengalami kasih—kasih Tuhan—yang lebih sempurna daripada segala yang dapat dibayangkan (Efesus 3:18). Jika kita kehilangan fokus tersebut, nescaya kita sama dengan anak sulung dalam perumpamaan ‘Anak lelaki yang hilang’ yang diceritakan Yesus, yang cuba mencari pengiktirafan Tuhan dengan bersungguh-sungguh, sedangkan kita terlupa tentang semua yang sudah ada dalam tangan (Lukas 15:25-32).

Dalam Alkitab, Mazmur 131 merupakan satu doa yang boleh membantu kita menjadi seperti “kanak-kanak kecil” (Matius 18:3) dan melepaskan pergelutan dalam minda kita tentang hal-hal yang tidak kita faham (Mazmur 131:1). Sebaliknya, dalam kasih Tuhan, kita dapat menenangkan dan menenteramkan jiwa kita (ayat 2), dan menyandarkan harapan kepada-Nya (ayat 3) seperti anak yang telah bercerai susu dengan ibunya (ayat 2).