Musim luruh merupakan musim bertelur bagi ikan trout yang berwarna perang di Sungai Owyhee. Anda boleh melihat ikan-ikan itu menggali tanah di dasar sungai membuat lubang untuk sarang di kawasan sungai yang cetek dan berkerikil.

Nelayan yang bijak tahu bahawa ikan-ikan ini sedang bertelur dan akan cuba tidak mengganggu. Mereka mengelakkan diri daripada berjalan di atas beting kerikil kerana mungkin akan terpijak telur-telur ikan, atau meranduk ke hulu sungai dari sarang ikan-ikan ini supaya tidak memisahkan batu-batu kerikil yang melitupi telur-telur ikan trout. Mereka juga tidak memancing ikan-ikan yang sedang berehat berhampiran dengan sarang walaupun mereka tergoda untuk melakukannya.

Langkah-langkah pencegahan ini merupakan sebahagian daripada dasar etika penangkapan ikan. Namun tindakan ini mempunyai erti yang lebih penting dan mendalam.

Firman Tuhan menegaskan bahawa Tuhan memberikan bumi ini kepada manusia (Kejadian 1:28-30). Bumi ini adalah milik kita, tetapi hendaklah kita menjaga alam semesta dengan penuh kasih.

Saya memerhatikan pekerjaan tangan Tuhan: burung puyuh yang berkicau di seberang kanyon, rusa elk (spesies rusa terbesar di dunia) yang menguak ketika bergaduh, kawanan antelop yang berada di jarak jauh, ikan trout dengan bintik-bintik seperti bunga mawar, ibu memerang yang sedang bermain-main dengan anaknya—saya menikmati semuanya kerana ia telah diberikan kepada saya oleh Bapa Yang Maha Pengasih.

Maka saya juga melindungi apa yang saya cintai.