Salah sebuah gereja yang saya gemari telah bermula beberapa tahun yang lalu sebagai satu pelayanan untuk menggembala bekas-bekas banduan yang sedang kembali ke pangkal masyarakat. Kini ramai orang yang terdiri daripada segala lapisan masyarakat datang beribadat di gereja tersebut. Saya menggemari gereja tersebut kerana ia mengingatkan saya tentang gambaran syurga—terdiri daripada pelbagai golongan orang yang telah ditebus daripada dosa dan disatukan oleh kasih Yesus.

Bagaimanapun, kadangkala saya tertanya-tanya jika gereja menjadi sebuah kelab eksklusif dan bukan tempat perlindungan bagi orang yang telah bertaubat. Sebagaimana orang cenderung bergaul dalam kumpulan dengan sesama yang disenangi mereka, keadaan demikian membuatkan orang lain terasa terasing. Tetapi ini tidak pernah menjadi arahan Yesus ketika Dia memerintah para murid-Nya “mengasihi sesama sendiri” (Yohanes 15:12). Gereja-Nya seharusnya berfungsi sebagai tempat yang berkongsi kasih Tuhan kepada semua orang.

Sekiranya orang yang menderita atau ditolak oleh masyarakat boleh mendapat perlindungan, penghiburan dan pengampunan yang penuh kasih dalam Yesus, jemaah Kristus juga harus berperanan sedemikian. Oleh itu, marilah kita menunjukkan kasih Yesus kepada setiap orang yang kita temui—terutamanya orang yang tidak seperti kita. Yesus ingin mengasihi semua orang di sekeliling kita melalui kita. Alangkah bahagianya apabila orang bersekutu untuk beribadat bersama dalam kasih—kita dapat memancarkan sedikit keadaan syurga di bumi ini!