“Pesakit agak agresif,” inilah nota yang ditulis oleh seorang jururawat.

Sebenarnya sebelum ini jururawat itu tidak menyedari bahawa saya mempunyai reaksi alahan selepas terjaga daripada pembedahan jantung terbuka yang rumit. Keadaan saya memang teruk, tambahan lagi dengan tiub dimasukkan ke dalam kerongkong saya. Lengan saya diikat untuk mengelakkan saya menarik keluar tiub pernafasan saya dengan tiba-tiba. Badan saya mula menggeletar, meregang terhadap tali pengikat pada lengan saya. Ia adalah satu pengalaman yang sangat menakutkan dan menyakitkan. Pada suatu ketika, pembantu jururawat di sebelah kanan katil saya memegang tangan saya. Tindakannya tidak dijangka dan amat lembut. Saya mula berasa tenang dan badan saya yang menggeletar dengan teruk pun mula berhenti.

Melalui pengalamannya dengan pesakit lain, pembantu jururawat itu tahu bahawa tangan yang menghibur juga boleh menolong saya. Ia merupakan satu contoh yang jelas tentang Tuhan yang selalu memberi penghiburan apabila anak-anak-Nya menderita.

Penghiburan merupakan alat yang berkuasa dan tidak dapat dilupakan oleh sesiapa pun yang memberi penjagaan, dan Paulus memberitahu kita dalam 2 Korintus 1:3-4 bahawa ia merupakan satu bahagian penting dalam “kotak peralatan” Tuhan. Bukan itu sahaja, Tuhan juga melipatgandakan kesan penghiburan-Nya, dengan memanggil kita mengingatkan penghiburan yang diberikan-Nya untuk menghibur orang lain dalam situasi yang sama (ayat 4-7). Ia juga satu tanda kasih-Nya yang besar; yang kita boleh berkongsi dengan orang lain—kadang-kadang hanya dengan satu gerak isyarat.