Ketika beredar mengelilingi bulan pada tahun 1968, angkasawan Apollo 8, Bill Anders, menggambarkan pandangan dekat landskap bulan yang dilihat oleh anak-anak kapal angkasa itu. Dia memanggil bulan sebagai “Tempat yang tidak menyenangkan hati … tandus dan mempunyai pandangan yang tidak menarik.” Kemudian anak-anak kapal bergilir-gilir membaca Kejadian 1:1-10 kepada semua penonton di bumi yang sedang melihat mereka melalui televisyen. Selepas Komander Frank Borman selesai membaca ayat 10, “Allah melihat semua itu baik,” dia mengakhirinya dengan, “Tuhan memberkati anda semua, anda semua di Bumi yang baik ini.”

Bab pembukaan Alkitab ini menegaskan dua fakta:

Penciptaan adalah pekerjaan Tuhan. Ungkapan “Berfirmanlah Allah … “bertalu-talu seperti irama di sepanjang bab ini. Keseluruhan keindahan bumi yang kita diami ini adalah hasil kerja kreatif-Nya. Semua yang berikutnya dalam Alkitab mengukuhkan lagi mesej Kejadian 1: Di sebalik setiap sejarah, Tuhan ada di sana.

Penciptaan adalah baik. Ayat lain berbunyi lembut dalam seluruh bab ini, seperti loceng. “ Allah melihat semua itu baik.” Banyak yang telah berubah sejak detik pertama penciptaan. Kejadian 1 menggambarkan bumi sebagaimana diinginkan Tuhan, sebelum kewujudan apa-apa kerosakan. Apa pun keindahan yang kita rasakan di alam semula jadi pada hari ini, adalah gema samar-samar bagi keadaan asli ciptaan Tuhan.

Angkasawan Apollo 8 menyaksikan Bumi sebagai bola berwarna terang yang tergantung sendirian di angkasa. Ia dilihat amat cantik dan rapuh. Ia kelihatan seperti pemandangan yang digambarkan dalam Kejadian 1.