Cheryl berasa terkejut apabila dia berhenti di sesuatu tempat untuk menghantar piza. Dia sepatutnya membuat penghantaran ke sebuah rumah, sebaliknya dia mendapati dirinya di luar sebuah gereja. Cheryl dengan agak keliru membawa piza peperoni itu masuk ke dalam gereja dan dia bertemu seorang pastor.
“Adakah anda mengalami kehidupan yang sukar selama ini?” Pastor itu bertanya. Cheryl menjawab ya. Maka pastor membawa keluar dua beg persembahan yang telah diisi duit oleh anggota gereja. Pastor itu kemudian meletakkan $750 dolar ke dalam beg penghantaran Cheryl sebagai tip! Tanpa diketahui Cheryl, rupa-rupanya pastor itu telah meminta kedai piza menghantar pemandu mereka yang paling kekurangan secara kewangan. Cheryl sangat terkejut. Dia kini boleh membayar beberapa bilnya.
Apabila orang Kristian pertama di Yerusalem menghadapi kemiskinan, ada sebuah gereja yang bergegas untuk membantu mereka. Walaupun mereka sendiri juga mengalami kekurangan, orang Kristian Makedonia memberi dengan pengorbanan, kerana mereka menganggap ini merupakan keistimewaan untuk berbuat demikian (2 Korintus 8:1-4). Paulus menyebut kemurahan hati mereka sebagai teladan bagi orang Korintus dan kita. Apabila kita menggunakan kelimpahan kita untuk membekalkan orang lain yang serba kekurangan, kita mencerminkan Yesus, yang telah memberikan kekayaan-Nya untuk memenuhi kemiskinan rohani kita sendiri (ayat 9).
Cheryl memberitahu semua pelanggannya tentang kebaikan gereja hari itu. Untuk mengikuti contoh gereja tersebut, Cheryl juga mendermakan tip yang diterimanya pada hari itu kepada orang lain yang ada keperluan. Satu tindakan kemurahan hati berlipat ganda, dan dengan itu, Kristus dimuliakan.