“Anda tidak dapat melihat saya!”
Apabila kanak-kanak kecil bermain “sorok-sorok,” kadang-kadang mereka percaya bahawa mereka tersembunyi hanya dengan menutup mata mereka. Jika mereka tidak dapat melihat anda, mereka menganggap anda juga tidak dapat melihat mereka.
Mungkin hal itu kelihatan naif bagi orang dewasa, tetapi kadang-kadang kita juga melakukan hal yang sama terhadap Tuhan. Apabila kita berhasrat untuk melakukan sesuatu yang kita tahu adalah salah, kita mungkin cenderung melupakan Tuhan apabila kita sengaja mengikut cara kita sendiri.
Nabi Yehezkiel menemui kebenaran ini melalui penglihatan yang diberikan Tuhan kepadanya, untuk umatnya yang berada dalam pembuangan di Babel. Tuhan berfirman kepadanya, “adakah kaulihat apa yang dilakukan tua-tua keturunan kaum Israel dalam kegelapan, masing-masing di dalam biliknya yang berukiran itu? Mereka berkata, ‘TUHAN tidak melihat kita’ ” (Yehezkiel 8:12).
Tetapi Tuhan melihat semuanya, penglihatan Yehezkiel adalah buktinya. Namun, walaupun mereka telah berdosa, Tuhan menawarkan harapan bagi mereka yang bertaubat melalui janji baharu: “Aku akan mengurniakan kepadamu hati yang baru dan menaruh roh yang baru dalam batinmu” (36:26).
Bagi kita, Tuhan menggantikan kehancuran dan pemberontakan yang dibawa oleh dosa dengan rahmat dan belas kasihan-Nya pada kayu salib, untuk menanggung hukuman yang dahsyat. Melalui Yesus Kristus, Tuhan menawarkan kita bukan sahaja satu permulaan baharu, Dia juga bekerja dalam diri kita untuk mengubah hati kita apabila kita mengikut Dia. Tuhan sungguh baik! Ketika kita sesat dan bersembunyi dalam dosa kita, Dia mendekati kita melalui Yesus, yang “datang untuk mencari dan menyelamatkan” kita (Lukas 19:10; Roma 5:8).