Kami mempunyai seekor anjing baka West Highland Terrier (Terrier Tanah Tinggi Barat) untuk beberapa tahun. Jenis anjing kecil ini amat kuat, dilahirkan khas untuk mengorek lubang terowong dan menyerang ‘musuh’ dalam sarang. Walaupun anjing kami, Westie jauh daripada baka asalnya, tetapi nalurinya masih dikekalkan. Pada satu ketika, anjing kami mempunyai obsesi tentang seekor “makhluk” di bawah batu di belakang rumah kami. Tiada yang dapat melarangnya. Westie terus mengali tanah sehingga satu lubang sedalam beberapa kaki terbentuk di bawah batu itu.

Sekarang pertimbangkan soalan ini: Mengapa kita sebagai manusia mengejar, mengejar dan mengejar? Mengapakah kita mesti mendaki gunung yang tidak boleh didaki, bermain ski di cerun yang sangat curam? Atau mengharungi jeram paling sukar dan berbahaya, mencabar kuasa-kuasa alam semula jadi? Sebahagian sebabnya adalah keinginan manusia untuk mengembara dan berseronok, tetapi tindakan seperti tersebut mempunyai makna yang lebih daripada itu. Segalanya merupakan suatu naluri yang telah ditanamkan dalam hati kita oleh Tuhan. Kita tidak boleh tidak mahu mencari Tuhan.

Sudah tentu kita tidak mengetahuinya. Kita hanya tahu bahawa kita merindukan sesuatu. “Anda tidak tahu apa yang anda mahu,” kata Mark Twain, “tetapi anda sungguh-sungguh mahukan perkara itu sehingga anda hampir mempertaruhkan nyawa.”

Tuhan adalah tempat sebenar hati kita. Seperti dikatakan oleh bapa gereja, Augustine dalam petikan yang terkenal ini: “Engkau telah mencipta kami untuk diri-Mu, ya Tuhan, dan hati kami akan terus resah sehinggalah kami menemui ketenangan dengan mengenal Engkau.”

Jadi apakah yang dapat memuaskan hati kita? Kekosongan hati kita yang mendalam hanya boleh dipenuhi oleh Tuhan.