Apabila diminta untuk menjelaskan tindakan yang akan diambil terhadap sebuah komuniti yang kadang-kadang tidak mahu bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang, seorang syerif menjawab bahawa dia tidak akan menunjuk-nunjukkan lencana polis atau berlagak dengan pangkat jawatannya. Sebaliknya dia berkata, “Kita juga manusia belaka, yang patut membantu manusia lain yang berada dalam krisis.”

Kerendahan hatinya—pengakuan kesamaannya dengan sesama manusia—mengingatkan saya tentang kata-kata Petrus ketika dia menulis kepada orang Kristian pada abad pertama yang menderita di bawah penganiayaan pemerintah Rom. Petrus mengarahkan: “Bersatu hatilah kamu semua, dan amalkan belas ihsan antara satu sama lain” (1 Petrus 3:8). Mungkin Petrus mengatakan bahawa jawapan yang terbaik kepada manusia yang berada dalam krisis adalah kita patut berperikemanusiaan, serta menyedari bahawa kita semua adalah sama. Lagipun, bukankah itu yang dilakukan oleh Tuhan sendiri ketika Dia mengutus Anak-Nya menjadi manusia untuk menolong kita? (Filipi 2:7).

Jika kita hanya berfokus kepada kejatuhan manusia, kita mungkin mudah digoda untuk menghina status kemanusiaan kita. Tetapi apakah yang akan terjadi jika kita memberi sumbangan kepada dunia ini? Yesus mengajar kita hidup dengan penuh kemanusiaan, sehingga menyedari bahawa kesemua kita ialah hamba Tuhan, maka kita semua adalah sama. Tuhan telah menjadikan kita “manusia”, dicipta menurut gambaran-Nya dan ditebus oleh kasih-Nya tanpa syarat.

Kita pasti akan bertemu dengan orang yang berada dalam pelbagai kesusahan. Bayangkan perbezaan yang mungkin kita dapat lakukan apabila kita bertindak balas dengan rendah hati—sebagai sesama manusia yang membantu manusia lain yang berada dalam krisis.