Apabila kami membawa pulang anak lelaki angkat kami dari luar negara, saya tidak sabar-sabar untuk mencurahkan dia dengan kasih sayang serta menyediakan apa yang kekurangan pada bulan-bulan sebelumnya, terutamanya makanan yang berkualiti kerana dia mengalami defisit pemakanan. Tetapi walaupun kami sudah berusaha dengan sebaik-baiknya, termasuklah pergi berjumpa pakar pemakanan, anak kami tetap membesar dengan sangat perlahan. Selepas hampir tiga tahun, barulah kami mengetahui bahawa badannya tidak dapat menerima sesetengah jenis makanan. Selepas mengeluarkan makanan yang tidak sesuai daripada dietnya, dia membesar lima inci hanya dalam masa beberapa bulan. Walaupun saya berasa sedih kerana saya secara tidak sengaja telah memberikan makanan yang menjejaskan pertumbuhannya sebelum ini, namun kini saya berasa sangat gembira dengan peningkatan dalam kesihatannya.
Saya percaya Yosia juga berasa begitu ketika Kitab Taurat ditemui, setelah hilang di Bait TUHAN selama beberapa tahun. Seperti saya yang berasa sedih kerana secara tidak sengaja telah menghalang pertumbuhan anak saya, Yosia bersedih kerana dia terlepas untuk mengetahui maksud terbaik serta kepenuhan Tuhan bagi umat-Nya kerana ketidaktahuan (2 Raja-Raja 22:11). Walaupun dia dipuji kerana melakukan apa yang benar di mata Tuhan (ayat 2), dia belajar dengan lebih baik untuk menghormati Tuhan selepas menemukan Hukum Taurat. Dengan pengetahuan yang baharu itu, dia memimpin rakyatnya kembali menyembah Tuhan seperti yang diperintahkan-Nya kepada mereka (23:22-23).
Apabila kita belajar untuk memuliakan Tuhan melalui Alkitab, kita mungkin bersedih hati apabila kita melanggar kehendak Tuhan. Namun kita boleh terhibur kerana Dia menyembuhkan dan memulihkan kita, serta memimpin kita secara perlahan-lahan untuk mencapai pengertian yang lebih mendalam.