Dalam sebuah dongeng yang mengisahkan tentang ayam dan babi, kedua-dua haiwan tersebut membuat perbincangan untuk membuka sebuah restoran bersama. Sewaktu merancang menu, si ayam mencadangkan untuk menghidangkan ham dan telur. Dengan lantas si babi membantah, “Tidak mahu. Jika sedemikian, saya akan menyerahkan diri sepenuhnya di meja, tetapi kamu pula hanya akan melibatkan diri.”

Walaupun babi tersebut jelas tidak mahu dihidangkan di atas pinggan, namun fahamannya tentang komitmen seakan-akan telah memberikan pengajaran kepada saya supaya mengikuti Tuhan dengan sepenuh hati.

Demi melindungi kerajaannya, Asa, yakni Raja Yehuda, ingin memutuskan perjanjian antara Raja Israel dan Raja Aram. Bagi mencapai tujuan ini, dia “mengambil perak dan emas daripada perbendaharaan Bait Tuhan dan dari istana raja” dan mengirimkannya kepada Benhadad, Raja Aram untuk menjamin pertolongan (2 Tawarikh 16:2). Benhadad bersetuju dan mereka bergabung kekuatan tentera untuk mengalahkan kerajaan Israel.

Namun nabi Tuhan, iaitu Hanani, menggelar Asa sebagai seorang yang bodoh kerana dia bergantung kepada manusia dan bukannya kepada Tuhan yang pernah menyerahkan musuh ke dalam tangan mereka. Hanani berkata, “Sesungguhnya, mata TUHAN menjelajah seluruh bumi untuk memberikan kekuatan kepada orang yang tulus hati terhadap-Nya” (ayat 9).

Ketika kita sedang menghadapi pergelutan dan cabaran, ingatlah bahawa Tuhan merupakan sekutu kita yang terbaik. Dia menguatkan kita apabila kita bersedia untuk “menghidangkan” komitmen yang sepenuh hati kepada-Nya.